Terdapat banyak riwayat dalam al-Quran dan hadith bahawa para malaikat sepanjang masa sibuk dengan beribadat. Satu jemaah malaikat berada dalam keadaan rukuk sampai ke hari kiamat. Begitu juga, satu jemaah malaikat berada dalam keadaan sujud dan begitu juga satu jemaah malaikat lagi berada dalam keadaan berdiri (seperti dalam solah). Untuk memuliakan dan meninggikan orang yang beriman maka Allah s.w.t menganugerahkan kepada mereka 2 rakaat solah yang menyamai segala perbuatan para malaikat itu supaya memperoleh setiap bahagian daripada ibadat malaikat.
Pembacaan al-Quran dalam solah melebihkan lagi nilai solah daripada ibadat para malaikat. Oleh sebab solah adalah gabungan daripada ibadat-ibadat para malaikat maka dengan adanya sifat mereka akan membawa kemanisan dalam solah. Oleh itu, Rasulullah saw bersabda, "Ringankanlah pinggang dan perut kamu untuk bersolah." Yang dimaksudkan dengan 'ringankan pinggang' ialah jangan membebankan diri dengan perbalahan dan perselisihan. Yang dimaksudkan dengan 'ringankan perut' ialah jangan makan terlalu kenyang kerana makan terlalu kenyang akan melahirkan sifat malas dan lembap.
Para sufi berkata bahawa dalam solah terdapat 12 ribu keberkatan yang Allah s.w.t berikan menerusi 12 perkara. Kesemua perkara ini sangat penting diberi perhatian supaya solah menjadi sempurna dan memperoleh faedah yang sepenuhnya. 12 perkara itu adalah seperti berikut:
Pertama, ilmu. Rasulullah saw bersabda bahawa amal yang sedikit disertai dengan ilmu adalah lebih baik daripada amal yang banyak dalam keadaan jahil
Kedua, wuduk
Ketiga, pakaian
Keempat, waktu
Kelima, menghadap ke arah kiblat
Keenam, niat
Ketujuh, Takbiratul-ihram
Kelapan, Berdiri tegak
Kesembilan, Membaca ayat -ayat al-Quran
Kesepuluh, Rukuk
Kesebelas, sujud
Keduabelas, Duduk ketika membaca tahiyat, dan kesempurnaan bagi kesemua perkara di atas adalah apabila disertai dengan keikhlasan.
Kemudian setiap satu daripada 12 perkara ini dibahagikan kepada 3 bahagian.
Ilmu mempunyai 3 bahagian: pertama mengetahui perkara-perkara fardhu dan sunat dalam hukum ahkam agama, kedua mengetahui perkara-perkara yang fardhu dan sunat dalam solah dan wuduk dan ketiga, mengetahui cara-cara tipu daya syaitan untuk merosakkan solah.
Wuduk juga mempunyai 3 bahagian: pertama mensucikan hati daripada perasaan hasad dengki sebagaimana anggota zahiriah dibersihkan, kedua anggota-anggota zahir perlu berada dalam keadaan suci daripada dosa dan ketiga anggota wuduk hendaklah dibersihkan dengan sempurna tanpa membazirkan air
Pakaian juga mempunyai 3 bahagian: pertama memperolehinya daripada sumber yang halal, kedua pakaian itu hendaklah suci dan ketiga pakaian itu hendaklah dipakai mengikut sunnah yakni jangan labuh sehingga menutupi buku lali dan jangan pakai dengan perasaan takabur dan besar diri.
Waktu juga mempunyai 3 bahagian yang sangat penting dan patut diambil berat : pertama mengambil berat tentang kedudukan matahari, bintang dann sebagainya supaya dapat mengetahui waktu solah yang betul (pada zaman kita jam dapat digunakan untuk tujuan tersebut), kedua berwaspada tentang azan dan ketiga hati sentiasa mengingati waktu solah, supaya tidak berlalu tanpa disedari.
Dalam mengadap qiblat 3 perkara perlu diambil berat: pertama anggota zahir mengadap ke arah qiblat, kedua hati tawajuh kepada Allah s.w.t kerana Dialah kaabah kepada hati dan ketiga menghadap dengan penuh tawajuh dihadapan Allah s.w.t sebagaimana selayaknya.
Niat juga perlu kepada 3 perkara: pertama mengetahui solah yang hendak dikerjakan itu, kedua sedar bahawa kita berdiri dihadapan Allah s.w.t dan Dia sedang melihat kita dan ketiga sedar bahawa Allah s.w.t juga mengetahui segala yang terkandung dalam hati kita.
Semasa mengangkat takbiratul-ihram juga 3 perkara perlu diberi perhatian: pertama sebutan hendaklah betul, kedua mengangkat tangan sehingga ke telinga seolah-olah telah membuang ke belakang segala-galanya selain daripada Allah s.w.t dan ketiga 'Allahuakhbar' disebut hati hendaklah penuh dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
Qiam yakni berdiri tegak juga mempunyai 3 perkara: pertama pandangan hendaklah tertumpu ke tempat sujud, kedua hati hendaklah membayangkan bahawa kita sedang berdiri dihadapan Allah s.w.t dan ketiga jangan memberi perhatian kepada perkara-perkara lain.
Dalam qiraat (bacaan ayat-ayat al-Quran) juga 3 perkara perlu diberi perhatian: pertama membaca dengan tartil, kedua hayatilah makna bacaan ayat-ayat al-Quran dan ketiga mengamalkan segala yang dibaca.
Rukuk juga mempunyai 3 perkara: pertama belakang hendaklah lurus, tidak kebawah dan tidak ke atas (kepala , belakang dan pinggang hendaklah berkeadaan lurus) kedua , jari-jari tangan direnggangkan sewaktu memegang lutut dan ketiga tasbih dalam keadaan tenang serta hati penuh dengan kebesaran Allah s.w.t
Semasa duduk tahiyat 3 perkara perlu dijaga: pertama tegakkan tapak kaki kanan dan duduk di atas kaki kiri (pada tahyat awal), kedua bacalah tahyat dengan penuh khusyuk dan rasa kebesaran terhadap Allah s.w.t serta menghayati bacaan dalam tahyat kerana mengandungi selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan doa untuk orang mukmin dan ketiga semasa hendak memberi salam hendaklah berniat untuk mengucap salam kepada para malaikat serta kepada mereka yang berada disebelah kanan dan kiri.
Ikhlas juga mempunyai 3 perkara : pertama tujuan mengerjakan solah adalah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t , kedua meyakini bahawa hanya dengan taufik Allah s.w.t kita dapat menunaikan solah dan ketiga mengharapkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t menerusi solah yang dikerjakan.
Sebenarnya solah mengandungi begitu banyak kebaikan dan keberkatan. Setiap lafaz dan sebutan dalam solah mengandungi keistimewaan dan menggambarkan keagungan Allah s.w.t contohnya doa pada permulaan solah pun mengandungi begitu banyak fadilat, apatah lagi amalan-amalan lain dalam solah.
Demikianlah semasa rukuk membaca, "Subhaanarabbilaziim" (Maha Suci Allah Yang Maha Besar) suci daripada segala keaiban.
Rukuk menzahirkan kelemahan dan ketidakupayaan kita dihadapan Allah s.w.t . Memanjangkan leher menunjukkan takabbur dan menundukkan kepala dan leher ketika rukuk menandakan ikrar ketaatan dan kesetiaan. Melalui rukuk seseorang itu seolah-olah berikrar , "Saya tunduk dihadapan segala hukum ahkamMu serta menjunjung ketaatan dan kesetiaan di atas kepalaku dengan penuh rasa kehambaan. Tubuh badanku yang berdosa hadir dan tunduk dihadapan Engkau Yang Maha Besar dan Yang Maha Agung."
Begitu juga dengan bacaan "SubhaanarabbialAa' la" (Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi) ketika sujud kita berikrar atas kebesaran dan kemuliaan Allah s.w.t yang tidak terbatas. Ikrar ini juga menggambarkan kesucian Allah s.w.t daripada segala kelemahan dan kekurangan. Kepala, yang merupakan anggota badan yang termulia, termasuk anggota-anggota yang sangat dikasihi iaitu mata, telinga, hidung da lidah diletak dihadapan Allah s.w.t . Melalui sujud seseorang itu seolah-olah berikrar bahawa anggota-anggota yang mulia dan aku kasihi ini hadir dihadapanMu berada diatas lantai dengan harapan Engkau menganugerahi rahmatMu kepadaku dan kasihanilah aku. Merendahkan diri dihadapan Allah s.w.t. bermula daripada qiam dalam memberi penghormatan kepada Allah s.w.t. Sifat rendah diri ini bertambah melalui tunduk dalam rukuk dan kemuncaknya apabila hidung dan kepala diletak di atas bumi di hadapan Allah s.w.t..
Beginilah keadaan bersolah yang sebenar yang sepatutnya dilakukan di sepanjang solah. Solah sebeginilah yang merupakan asas kejayaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Semoga Allah s.w.t dengan limpah rahimNya mengurniakan taufik kepada saya dan sekalian orang Islam untuk mengerjakan solah yang sedemikian itu. Amiin..
No comments:
Post a Comment