SETAHUN BERHENTI MEROKOK, DAPAT BAWA KELUARGA BERCUTI KE LUAR NEGARA!


Orang kata, bukan senang nak berhenti merokok. Apatah lagi kalau rokok tu dah memang ‘sebati’ dalam diri. Bayangkan seseorang nak buang tabiat yang mereka dah biasa buat sejak berpuluh tahun, tentu susah kan?

Tapi dengan usaha dan azam yang kuat, tak ada apa yang mustahil. Begitulah yang dilakukan oleh Mohd Firdaus yang mula ‘membebaskan’ diri daripada rokok setelah 20 tahun menjadi perokok tegar.

Mula merokok sejak usia muda iaitu 15 tahun, kini beliau genap setahun berhenti merokok. Nampaknya keputusan yang dibuat menampakkan pelbagai perubahan positif bukan terhadap dirinya saja, bahkan juga keluarganya.

Mari ikuti perkongsian beliau sepenuhnya di bawah ini. Semoga memberi inspirasi kepada lebih ramai perokok di luar sana!

MULA MEROKOK SEJAK UMUR 15 TAHUN SAMPAILAH 35 TAHUN
28 Sep 2017 – 28 Sep 2018

Alhamdulillah genap setahun dah stop smoking dgn izinNYA. Bersyukur sangat kerana menjadi insan terpilih mendapat hidayah dan diberikan kekuatan.

Saya bekas perokok tegar yang dah merokok selama 20 tahun, iaitu sejak usia 15 tahun sehinggalah 35 tahun. Saya bekas perokok tegar Dunhill Red, Winston Red & Marlboro menthol.


LEPAS SETAHUN BERHENTI, INI YANG SAYA DAPAT
Setahun dah saya berhenti merokok apa yang saya dapat setahun ini?

Kesihatan Bertambah Baik

✔ Saya dah tak batuk sehingga sesak nafas lagi.
✔ Saya dah tak demam tonsil lagi dan dah tak perlu buat operation tonsil seperti yang disarankan dulu.
✔ Saya rasa kehidupan seharian semakin sihat dan lapang dada bila bernafas.

Kehidupan Lebih Positif

✔ Saya rasa semakin dekat dengan Maha Pencipta kerana rasa senang untuk beramal ibadah.
✔ Saya rasa doa senang diterima dan apa yang dihajati senang termakbul.
✔ Saya rasa lapang fikiran tanpa fikirkan nak merokok lepas makan atau nak kena mencari tempat nak merokok bila di shopping complex atau bila drive jalan jauh nak kena berhenti untuk merokok. Secara tak langsung dapat luangkan lebih banyak masa untuk famili.

Kewangan Lebih Terancang

Sehingga hari ini kos perjimatan tak beli rokok yang saya untung :
– Sehari untung Rm17
– Sebulan untung Rm510
– Setahun untung Rm6,120

✔ First time saya dapat bawa 1 famili travel overseas dan selalu dapat pergi bercuti dengan famili.
✔ First time dapat merasa tidur hotel bilik berharga 1 malam Rm1000++ di Lexis Hibiscus PD.
✔ First time rasa nak beli apa-apa pun tak kisah dan tak berkira sangat sebab fikir dulu beli rokok lagi rugi banyak.


KENA KENTALKAN DIRI, TERUTAMANYA 2 MINGGU PERTAMA
Bukan niat share ni untuk bangga diri, tapi sekadar perkongsian untuk memberi semangat pada yang ingin berhenti merokok agar berusahalah untuk berhenti. In Syaa Allah semoga dipermudahkan usaha ke arah kebaikan.

Niat berazam, berusaha dan kentalkan jiwa. 2 minggu je kena kuatkan semangat tu. In Syaa Allah lepas tu akan beransur pulih bebas dari rokok.

Pada yang belum nak berhenti tu fikir-fikirkanlah untuk berhenti merokok. Cuba senaraikan sepuluh kebaikan merokok, memang tak ada satu pun kebaikannya yang boleh disenaraikan.

Good luck pada yang nak berhenti merokok. Kita kena berusaha mencari hidayah Allah. Hidayah itu milik Allah, sesiapa sahaja yang dikehendakiNYA pasti akan dapat HidayahNYA..

Terima kasih pada yang sudi membaca kisah saya ini.

#Ikhlasdariseorangbekasperokoktegar

KEJAYAAN MANUSIA, HANYA DALAM AGAMA


Kejayaan manusia dalam agama. Sejauh mana taat perintah Allah, ikut cara nabi SAW. Jika manusia ambil agama dalam kehidupan mereka, mereka akan berjaya. Perdana menteri ambil agama dalam kehidupan dia, dia akan berjaya. Doktor perubatan ambil agama dalam kehidupan dia, dia akan berjaya. Tukang sapu sampah ambil agama dalam kehidupan dia, dia akan berjaya.

Tidak kira seseorang itu kaya atau miskin. Pandai atau tidak pandai. Cantik atau tidak cantik. Tinggal di bandar atau di desa. Seorang raja atau seorang hamba. Seorang doktor atau tukang sapu sampah. Seorang jurutera atau pencuci tandas.

Bila dia ambil agama dalam kehidupan dia, maka dia akan berjaya!

Sebaliknya seseorang yang ada harta satu dunia sekalipun, bila tidak ambil agama dalam kehidupan dia, maka dia akan gagal dengan sebenar-benar gagal.

Sebagaimana Allah hantar nabi-nabi pada zaman dahulu, ada nabi yang dihantar pada satu zaman, ada nabi yang dihantar untuk satu kaum, ada nabi yang dihantar untuk satu negeri, semuanya melakukan tugas yang sama. Nabi-nabi telah buat dakwah. Mereka mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah. Memberitahu manusia tentang keesaan Allah. Tentang kebesaran Allah.

Begitulah juga umat ini dihantar untuk maksud yang sama. Hari ini nabi telah tiada. Walau sejahat mana pun manusia, nabi tidak akan dihantar lagi. Jadi umat ini telah dipertanggungjawabkan untuk buat kerja nabi. Kerja mengajak manusia untuk mengenali Allah. Memberitahu manusia supaya mentauhidkan Allah.

Kesan dari kerja inilah, Allah mengislahkan umat ini. Iman dapat dipertingkatkan bila melakukan kerja dakwah.

Maka apabila iman telah meningkat, semua larangan Allah dapat ditinggalkan. Hari ini manusia banyak melakukan maksiat kerana iman yang sangat lemah. Jadi sangat penting untuk meningkatkan iman supaya segala perintah Allah dapat dituruti dan segala larangan Allah dapat ditinggalkan.

Untuk itulah ulama buat tertib untuk kita belajar usaha dakwah. Umat ini perlu keluar jalan Allah. Bagi masa 3hari, 40hari, 4bulan untuk islahkan diri. Dengan pengsilahan inilah Allah akan ajar kita. Allah akan bagi kefahaman pada kita apakah sebenarnya kehendak Allah hantar kita ke dunia ini.

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya keluar berjuang di jalan Allah sepagi atau sepetang adalah lebih baik daripada dunia dan isinya.

KISAH DAKWAH RASULULLAH SAW KE TAIF


Usaha dakwah Rasulullah saw mengajak penduduk Mekah kepada aqidah dan ajaran Islam sudah maksima. Boleh dikatakan semua penduduk Mekah sudah di dekati dan diberi peluang mendengar seruan Baginda. Rasulullah saw dan para sahabat mendekati mereka dengan membacakan Al-Quran, berhujjah atau diperlihatkan mukjizat - bukti kebenaran Baginda saw sebagai seorang Rasul. 

Seterusnya Rasulullah Saw mengalihkan tumpuan dakwahnya kepada kabilah-kabilah dari luar Mekah. Rasulullah berharap akan memperolehi penyokong-penyokong perjuangan dari luar Mekah. Maka, Rasulullah saw. mengambil keputusan untuk berdakwah di Taif kerana Taif paling berdekatan dengan Mekah. Jaraknya hanya 80km. Taif terletak di  bahagian tenggara Mekah. Kabilah Tsaqif menghuni Taif sejak beberapa lama. 

Baginda mengharapkan agar Bani Tsaqif dapat menerima seruan dakwah dan membantu Baginda kerana kedudukan Bani Tsaqif yang paling hampir dengan kota Mekah. Selain daripada itu, Baginda juga mempunyai hubungan keluarga sebelah ibu dengan mereka. Ini adalah kerana ibu kepada Hasyim bin Abdu Manaf iaitu ’Atikah berasal daripada keturunan Bani Salim yang juga keluarga kepada Bani Tsaqif.

Pada bulan Syawal tahun kesepuluh selepas kerasulan, Rasulullah Saw berjalan ke Taif ditemani oleh Saidina Zaid bin Harithah. Mereka berjalan menempuh panas terik matahari. Hawa panas padang pasir tidak sedikit pun menggoyahkan semangat mereka. Keimanan adalah sebaik-baik bekalan hati dan jiwa mereka pada saat itu. 

Seawal mereka tiba di Taif, mereka telah bertemu dengan tiga orang pemimpin Taif di gerbang masuk ke Kota Taif. Mereka ialah anak-anak A’mru Bin U’mair iaitu Abdul Yalil, Masud dan Habib. Pada awalnya mereka menyambut baik kedatangan Rasulullah Saw atas dasar Baginda adalah salah seorang pemuka Mekah dari Bani Abdul Mutalib. Rasulullah Saw terus menyampaikan Al Quran dan Islam kepada mereka bertiga. Sebaik sahaja Rasulullah Saw selesai bercakap, salah seorang dari mereka telah bangun dan berkata: "Demi Allah, aku tidak akan beriman kepada kamu sehingga terkoyak kelambu Ka’bah". Seterusnya saudaranya yang kedua pula bangun dan berkata: "Apakah Allah tidak ada pilihan lain dari kamu untuk dilantik menjadi Rasul". Sementara saudara yang ketiga pula berkata: "Demi Allah, aku tidak akan bercakap lagi dengan kamu. Kalau kamu adalah seorang Nabi, amat merbahaya bagiku sekiranya aku tidak beriman tetapi sekiranya kamu menipu terhadap Allah sepatutnya aku tidak bercakap dengan kamu".

Demikianlah sambutan awal dari penduduk Taif. Para pemimpinnya dengan terus-terang menolak dakwah Rasulullah Saw bahkan mereka telah menghina Baginda. Namun Rasulullah Saw tetap sabar. Baginda tidak berputus asa sebaliknya baginda berkata kepada mereka: "Tidak mengapa kalau kamu semua tidak mahu mempercayai aku, tetapi biarkanlah aku menyampaikannya kepada orang lain". Dengan penuh sombong mereka berkata: "Kami tidak akan membenarkan kamu berdakwah kepada kami dan juga kepada orang lain".

Mereka terus meninggalkan Rasulullah Saw dan masuk kedalam kota Taif. Rupa-rupanya mereka terus mengumpulkan seluruh budak-budak nakal yang ada didalam kota lalu dibariskan mereka kepada dua barisan. Seterusnya mereka mengarahkan budak-budak nakal ini membaling Rasulullah Saw dengan batu bila Baginda memasuki kota Taif. Benar, sebaik saja Rasulullah Saw memasuki Kota Taif dan belum pun sempat bercakap dengan siapa, baginda telah dihujani dengan lontaran batu sehingga berdarah kaki baginda. Saidina Zaidlah yang melindungi Rasulullah Saw dengan jasadnya. Sebab itu dia lukanya lebih teruk dari Rasulullah Saw.
         
Kemudian,  Rasulullah SAW dan Zaid berhenti rehat di bawah sebatang pokok anggur yang rendang. Pokok itu terletak bersebelahan kebun kepunyaan ‘Utbah dan Syaibah, kedua-dunya ialah anak Rabi’ah yang merupakan seorang yang memusuhi baginda. Pada ketika itu, kedua-dua mereka ada di kebun itu. Melihatkan mereka berdua, Rasulullah berdoa;

اَلْلَّهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُوْ ضِعْفَ قُوَّتِيْ
وَقِلَّةَ حِيْلَتِيْ، وَهَوَانِيْ عَلَى النَّاسِ...
أَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِيْنَ...
أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِيْنَ...وَأَنْتَ رَبِّيْ..
إِلَى مَنْ تَكِلَنِيْ؟؟
إِلَى بَعِيْدِ يَتَجَهَّمُنِيْ...؟ أَمْ إِلَى عَدُوٍّ مَلَكْتَهُ أَمْرِيْ..؟
إِنْ لَمْ يِكُنْ بِكَ غَضَبٌ عَلَيَّ فَلَا أُبَالِيْ..
غَيْرَ أَنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعَ لِيْ..
أَعُوْذُ بِنُوْرِ وَجْهِكَ الَّذِيْ أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتِ
وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ أَنَّ اِنْ يَحِلَّ عَلَيَّ غَضَبُكَ
أَوْ إِنْ يَنْزِلُ بِيْ سَخَطُكَ..
لَكَ حَتَّى تَرْضَىْ...
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِكَ..

Maksudnya: 
“Tuhanku kepada Dikau ku mengadu hal keletihan tenagaku, 
kekurangan helahku, kehinaanku di hadapan manusia, 
wahai Maha Penyayang Lagi Kasihan belas. 
Dikaulah Tuhan golongan lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, 
kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? 
Apakah kepada orang yang jauh membenci daku ? 
atau kepada seteru yang telah Kau beri kuasa mengatasi daku? 
Kiranya tiada kemarahan Kau ke atasku, tidaklah kupeduli, 
namun afiat dariMu lebih luas bagiku, ku berlindung dengan cahayaMu. 
Dikaulah yang menerangi kegelapan, 
dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, 
aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, 
atau terturun kemarahanMu, bagi kau jua tempat kembalinya 
hingga tercapai keredhaanMu, 
tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhan.”

Mendengar rintihan Rasulullah itu, Allah telah menghantar malaikat Jibril dan malaikat penjaga bukit-bukau dan gunung-ganang. Kata Jibril: "Wahai Rasulullah, Allah telah mengutuskan kami kepadamu. Kalau kamu mahu, perintahkan malaikat ini untuk mentelangkupkan Mekah diantara dua bukit dan mereka akan musnah". Jawab Rasulullah Saw: "Wahai Jibril, jangan lakukannya. Biarlah aku bersabar terhadap kaumku. Semoga Allah akan melahirkan dari zuriat mereka orang-orang yang beriman kepada Allah". Rasulullah saw mendoakan kaum Taif, “Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” Lalu Jibril berkata, “Telah benarlah mereka yang menamakan kamu sebagai berhati lembut dan penuh kasih sayang

Apabila ‘Utbah dan Syaibah melihatkan Rasulullah, mereka berasa kasihan. Lalu mereka menghantar seorang hamba Nasrani bernama ‘Addas membawa sebekas  anggur kepada Rasulullah saw. “Pergilah engkau membawa anggur anggur ini kepada mereka berdua di sana itu.” Perintah ‘Utbah kepada hamba Nasrani itu yang bernama ‘Addas.

Baginda saw amat gembira kerana ada juga penduduk Taif yang mengasihani mereka. Baginda saw. mengucapkan terima kasih kepada ‘Addas. Ketika Baginda mahu memakan anggur itu, Baginda mengucapkan “Bismaillahir Rahmaanir Rahim” lalu Baginda menyuapkan anggur itu ke mulut Baginda.

Apabila ‘Addas mendengarkan ucapan baginda itu, ‘Addas berasa hairan lalu berkata: “Kalimah yang kau ucapkan itu tidak dituturkan oleh penduduk negeri ini”. Lalu Rasullullah bertanya kepadanya: “Kamu datang dari negeri mana dan apa agama anutan kamu?”

Lalu ‘Addas menjawab: “Aku penganut agama Nasrani dan aku berasal dari negeri Ninawa (sebuah negeri di Iraq).” Baginda bertanya lagi: “Kau dari negeri seorang soleh bernama Yunus bin Mataa”. Lalu ‘Addas bertanya: “Apa yang kau tahu tentang Yunus bin Mataa?”

Rasulullah menjawab: “Dia itu saudaraku. Dia ialah seorang nabi dan aku juga seorang nabi!”. Lalu Rasulullah membaca ayat al-Quran surah Yunus yang menceritakan perihal Nabi Yunus. Mendengarkan itu, ‘Addas berasa begitu takjub lalu mengucup kepala, tangan dan kaki Rasulullah. Lalu ‘Addas memeluk Islam di situ juga. Kemudian Addas kembali mendapatkan tuannya Utbah dan Syaibah lalu Addas dimarahi kerana memuliakan Rasulullah saw.

Mereka berkata, “Celaka kau wahai Addas, kenapa kau mengucup kepala, tangan dan kaki lelaki itu?” Lalu ‘Addas menjawab, “Wahai tuanku, tiada apa di dunia ini yang terlebih baik daripada apa yang aku lakukan tadi kerana sesungguhnya lelaki itu telah mengkhabarkan kepadaku perkara yang tidak diketahui manusia biasa kecuali oleh seorang Nabi!”

Demikianlah kesusahan yang ditanggung Rasulullah saw. dalam melaksanakan perintah Allah swt. Baginda saw. sangat ingin menyelamatkan umatnya. Hebatnya jiwa seorang Nabi!!

12 PERKARA DALAM SOLAT

Image result for solat

Terdapat banyak riwayat dalam al-Quran dan hadith bahawa para malaikat sepanjang masa sibuk dengan beribadat. Satu jemaah malaikat berada dalam keadaan rukuk sampai ke hari kiamat. Begitu juga, satu jemaah malaikat berada dalam keadaan sujud dan begitu juga satu jemaah malaikat lagi berada dalam keadaan berdiri (seperti dalam solah). Untuk memuliakan dan meninggikan orang yang beriman maka Allah s.w.t menganugerahkan kepada mereka 2 rakaat solah yang menyamai segala perbuatan para malaikat itu supaya memperoleh setiap bahagian daripada ibadat malaikat.
Pembacaan al-Quran dalam solah melebihkan lagi nilai solah daripada ibadat para malaikat. Oleh sebab solah adalah gabungan daripada ibadat-ibadat para malaikat maka dengan adanya sifat mereka akan membawa kemanisan dalam solah. Oleh itu, Rasulullah saw bersabda, "Ringankanlah pinggang dan perut kamu untuk bersolah." Yang dimaksudkan dengan 'ringankan pinggang' ialah jangan membebankan diri dengan perbalahan dan perselisihan. Yang dimaksudkan dengan 'ringankan perut' ialah jangan makan terlalu kenyang kerana makan terlalu kenyang akan melahirkan sifat malas dan lembap.

Para sufi berkata bahawa dalam solah terdapat 12 ribu keberkatan yang Allah s.w.t berikan menerusi 12 perkara. Kesemua perkara ini sangat penting diberi perhatian supaya solah menjadi sempurna dan memperoleh faedah yang sepenuhnya. 12 perkara itu adalah seperti berikut:

Pertama, ilmu. Rasulullah saw bersabda bahawa amal yang sedikit disertai dengan ilmu adalah lebih baik daripada amal yang banyak dalam keadaan jahil

Kedua, wuduk

Ketiga, pakaian

Keempat, waktu

Kelima, menghadap ke arah kiblat

Keenam, niat

Ketujuh, Takbiratul-ihram

Kelapan, Berdiri tegak

Kesembilan, Membaca ayat -ayat al-Quran

Kesepuluh, Rukuk

Kesebelas, sujud

Keduabelas, Duduk ketika membaca tahiyat, dan kesempurnaan bagi kesemua perkara di atas adalah apabila disertai dengan keikhlasan.

Kemudian setiap satu daripada 12 perkara ini dibahagikan kepada 3 bahagian.

Ilmu mempunyai 3 bahagian: pertama mengetahui perkara-perkara fardhu dan sunat dalam hukum ahkam agama, kedua mengetahui perkara-perkara yang fardhu dan sunat dalam solah dan wuduk dan ketiga, mengetahui cara-cara tipu daya syaitan untuk merosakkan solah.

Wuduk juga mempunyai 3 bahagian: pertama mensucikan hati daripada perasaan hasad dengki sebagaimana anggota zahiriah dibersihkan, kedua anggota-anggota zahir perlu berada dalam keadaan suci daripada dosa dan ketiga anggota wuduk hendaklah dibersihkan dengan sempurna tanpa membazirkan air

Pakaian juga mempunyai 3 bahagian: pertama memperolehinya daripada sumber yang halal, kedua pakaian itu hendaklah suci dan ketiga pakaian itu hendaklah dipakai mengikut sunnah yakni jangan labuh sehingga menutupi buku lali dan jangan pakai dengan perasaan takabur dan besar diri.

Waktu juga mempunyai 3 bahagian yang sangat penting dan patut diambil berat : pertama mengambil berat tentang kedudukan matahari, bintang dann sebagainya supaya dapat mengetahui waktu solah yang betul (pada zaman kita jam dapat digunakan untuk tujuan tersebut), kedua berwaspada tentang azan dan ketiga hati sentiasa mengingati waktu solah, supaya tidak berlalu tanpa disedari.

Dalam mengadap qiblat 3 perkara perlu diambil berat: pertama anggota zahir mengadap ke arah qiblat, kedua hati tawajuh kepada Allah s.w.t kerana Dialah kaabah kepada hati dan ketiga menghadap dengan penuh tawajuh dihadapan Allah s.w.t sebagaimana selayaknya.

Niat juga perlu kepada 3 perkara: pertama mengetahui solah yang hendak dikerjakan itu, kedua sedar bahawa kita berdiri dihadapan Allah s.w.t dan Dia sedang melihat kita dan ketiga sedar bahawa Allah s.w.t juga mengetahui segala yang terkandung dalam hati kita.

Semasa mengangkat takbiratul-ihram juga 3 perkara perlu diberi perhatian: pertama sebutan hendaklah betul, kedua mengangkat tangan sehingga ke telinga seolah-olah telah membuang ke belakang segala-galanya selain daripada Allah s.w.t dan ketiga 'Allahuakhbar' disebut hati hendaklah penuh dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.

Qiam yakni berdiri tegak juga mempunyai 3 perkara: pertama pandangan hendaklah tertumpu ke tempat sujud, kedua hati hendaklah membayangkan bahawa kita sedang berdiri dihadapan Allah s.w.t dan ketiga jangan memberi perhatian kepada perkara-perkara lain.

Dalam qiraat (bacaan ayat-ayat al-Quran) juga 3 perkara perlu diberi perhatian: pertama membaca dengan tartil, kedua hayatilah makna bacaan ayat-ayat al-Quran dan ketiga mengamalkan segala yang dibaca.

Rukuk juga mempunyai 3 perkara: pertama belakang hendaklah lurus, tidak kebawah dan tidak ke atas (kepala , belakang dan pinggang hendaklah berkeadaan lurus) kedua , jari-jari tangan direnggangkan sewaktu memegang lutut dan ketiga tasbih dalam keadaan tenang serta hati penuh dengan kebesaran Allah s.w.t

Semasa duduk tahiyat 3 perkara perlu dijaga: pertama tegakkan tapak kaki kanan dan duduk di atas kaki kiri (pada tahyat awal), kedua bacalah tahyat dengan penuh khusyuk dan rasa kebesaran terhadap Allah s.w.t serta menghayati bacaan dalam tahyat kerana mengandungi selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan doa untuk orang mukmin dan ketiga semasa hendak memberi salam hendaklah berniat untuk mengucap salam kepada para malaikat serta kepada mereka yang berada disebelah kanan dan kiri.

Ikhlas juga mempunyai 3 perkara : pertama tujuan mengerjakan solah adalah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t , kedua meyakini bahawa hanya dengan taufik Allah s.w.t kita dapat menunaikan solah dan ketiga mengharapkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t menerusi solah yang dikerjakan.


Sebenarnya solah mengandungi begitu banyak kebaikan dan keberkatan. Setiap lafaz dan sebutan dalam solah mengandungi keistimewaan dan menggambarkan keagungan Allah s.w.t contohnya doa pada permulaan solah pun mengandungi begitu banyak fadilat, apatah lagi amalan-amalan lain dalam solah.
Demikianlah semasa rukuk membaca, "Subhaanarabbilaziim" (Maha Suci Allah Yang Maha Besar) suci daripada segala keaiban.
Rukuk menzahirkan kelemahan dan ketidakupayaan kita dihadapan Allah s.w.t . Memanjangkan leher menunjukkan takabbur dan menundukkan kepala dan leher ketika rukuk menandakan ikrar ketaatan dan kesetiaan. Melalui rukuk seseorang itu seolah-olah berikrar , "Saya tunduk dihadapan segala hukum ahkamMu serta menjunjung ketaatan dan kesetiaan di atas kepalaku dengan penuh rasa kehambaan. Tubuh badanku yang berdosa hadir dan tunduk dihadapan Engkau Yang Maha Besar dan Yang Maha Agung."
Begitu juga dengan bacaan "SubhaanarabbialAa' la" (Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi) ketika sujud kita berikrar atas kebesaran dan kemuliaan Allah s.w.t yang tidak terbatas. Ikrar ini juga menggambarkan kesucian Allah s.w.t daripada segala kelemahan dan kekurangan. Kepala, yang merupakan anggota badan yang termulia, termasuk anggota-anggota yang sangat dikasihi iaitu mata, telinga, hidung da lidah diletak dihadapan Allah s.w.t . Melalui sujud seseorang itu seolah-olah berikrar bahawa anggota-anggota yang mulia dan aku kasihi ini hadir dihadapanMu berada diatas lantai dengan harapan Engkau menganugerahi rahmatMu kepadaku dan kasihanilah aku. Merendahkan diri dihadapan Allah s.w.t. bermula daripada qiam dalam memberi penghormatan kepada Allah s.w.t. Sifat rendah diri ini bertambah melalui tunduk dalam rukuk dan kemuncaknya apabila hidung dan kepala diletak di atas bumi di hadapan Allah s.w.t..

Beginilah keadaan bersolah yang sebenar yang sepatutnya dilakukan di sepanjang solah. Solah sebeginilah yang merupakan asas kejayaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Semoga Allah s.w.t dengan limpah rahimNya mengurniakan taufik kepada saya dan sekalian orang Islam untuk mengerjakan solah yang sedemikian itu. Amiin..

HIDUP WANITA JADI LEBIH SUKAR DAN TERTEKAN SELEPAS KAHWIN. BENARKAH?



Benarkah Selepas Kahwin, Hidup Wanita Jadi Lebih Sukar Dan Tertekan Dari Semasa Menjadi Anak Dara?

Ingat seepas kahwin, bolehlah buat kerja rumah sama-sama dan kukuhkan ekonomi rumah tangga bersama. Rupanya tidak! Kerja atau tidak, semua isteri yang buat. Belum lagi cerita lagi pasal kewangan yang tak berapa nak stabil. Asyik-asyik, bini yang topup. Allah… manalah isteri tak rasa tertekan! Untuk jentik emosi suami isteri yang kadang hanyut dek kesibukan harian menguruskan rumah tangga, jemput baca perkongsian Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria, sebuah realiti dari sudut hati seorang isteri.

WANITA DAN TEKANAN
Jika ini sculpture yang dibuat, maka benarlah begini hidup wanita seluruh dunia digambarkan selepas berkahwin. Kerana itu, disebutkan dalam pelbagai riwayat tentang mulianya akhlak Nabi sehingga Nabi uruskan dirinya sendiri, jahit baju,jahit kasutnya, siapkan makan keluarganya, Nabi buat kerja-kerja rumah, Nabi belai isteri-isteri baginda, Nabi bersihkan bekas haid isterinya, Nabi potong kuku isterinya, Nabi bantu ketika isteri Nabi naik unta sehingga Nabi letakkan pahanya ke tanah untuk dipijak isteri, Nabi paling banyak tersenyum, Nabi didik isteri dengan akhlak yang terbaik dengan perintah-perintah Allah, Nabi berlemah lembut pada isteri baginda, Nabi tak pernah tinggi suara pada isterinya bahkan Nabi tak pernah menjerit-jerit atau memaki hamun. Isteri Nabi juga diberikan pembantu untuk memudahkan segala urusan.

Bahkan Nabi orang yang paling banyak ibadah kepada Allah, paling sempurna imannya, paling rajin bekerja dan sangat jujur tidak pernah mengambil harta isterinya untuk tujuan peribadi. Allahu Akbar!

Dengan kata lain, selayaknya suami sebegini mendapat penghormatan dari isteri bukan sekadar kerana suami itu menafkahi isterinya,dan bukan sekadar kedudukan suami lebih tinggi dari isteri, tetapi disebabkan suami itu sendiri memuliakan isterinya.

Namun hadis ini disalah guna pakai untuk mengatakan kedudukan lelaki sebagai suami terlalu tinggi sehingga isteri perlu taat tanpa sempadan dan korban sehingga mati!
Satu kezaliman yang membunuh sifat kemanusiaan dalam rumahtangga itu sendiri.

Dan kesannya emosi wanita bercelaru dan sakit. Sehingga tekanan-tekanan itu membawa kegilaan dan anak tidak berdosa menjadi mangsa dibunuh, dicampak luar flat, ditikam, dikelar. Nauzubillahi minzalik.

Selepas kahwin, lebih sukar kehidupan?
Belum lagi beban emosi wanita itu dihenyak lagi dengan suami yang mengambil duit isteri, mencuri harta isteri, menyuruh isteri berhutang, berjanji akan bayar balik, bila diminta dikata mengungkit, tak bersyukur, tak boleh sabar, menetapkan pula itu ini isteri kena bayar dengan alasan isteri bekerja kenalah bersusah bantu suami, kaki lepak, keluar masuk rumah ikut suka, curang disebabkan isteri ak pandai melayan dan macam-macam rencah karenah kerana suami tidak diberi tanggungjawab sebagai lelaki yang perlu bersusah payah bukan sekadar mencari nafkah untuk isteri tetapi juga mengurus tadbir keperluan keluarganya dengan baik dan sabar.

Jika benar, seorang lelaki faham agama, pasti dan pasti akhlaknya seperti Nabi dan tiada seorang wanita akan terkoyak emosinya sebegini teruk. Dan tekanan-tekanan dari keluarga mertua, ipar duai sepupu sepapat, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dengan pelbagai rencah hentaman, pandai cakap, tukang mengajar, kecaman, suruhan, perintah, teguran kononnya mana boleh lelaki buat kerja rumah, mana boleh jaga anak, semua benda suami yang buat, habis isteri buat apa? Soalan yang tidak masuk akal, suami takut bini, suami kena guna-guna, isteri macam ni tak layak jadi ibu sebab tengok suami yang uruskan anak-anak. Allah… terbeban sangat tengok suami tu. Derita sungguh suami perkasa kena buat semua kerja rumah, isteri tak tahu tanggungjawab. Isteri tak bersusah payah dengan suami dan desakan-desakan ini juga yang menambah sakit mental wanita.

Belum cerita tentang isteri ceaser belah perut yang kadang-kadang terkoyak balik jahitan dan bernanah dalamnya akibat gerakan yang banyak dan angkat benda berat, bahkan bertahun pun tak hilang lagi sakit ceaser tu. Punya bertarung nyawa untuk suami. Belum lagi cerita perut berparut seribu dan perut lembik macam kain buruk akibat mengandungkan zuriat-zuriat suami, longgar sana longgar sini dan suami hanya pandai komplen.

Belum juga kisah terkuburnya cita-cita selepas kahwin dgn ‘hukum buatan manusia’, lepas kahwin, isteri kena ikut suami. Tanpa kompromi, tanpa berbincang, ikut sahaja.

Mulianya Suri Rumah
Seharusnya sebelum kahwin sudah jelas perancangan ke depan dan kesedian kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa ditekan emosi. Jelas dan jujur. Jika tak sedia, jangan teruskan perkahwinan.

Nak sambung belajar, mak mertua kata tak perlu sebab perempuan lebih baik duduk rumah, mengasuh anak. Terkubur satu lagi hasrat dan cita-cita yang ditanam dengan semangat membara dari kecil hasil didikan ibu ayahnya. Anak perempuan siapa yang diperlakukan sebegini? Kezaliman apa sehingga dinafikan hak wanita untuk memperoleh apa yang dihajati dari kecilnya? Dunia apa yang dicorak untuk para isteri ini? Tekanan!

Mulia sungguh menjadi suri rumah, tetapi pastikan suri rumah yang merasa nikmat bahagia, bukan derita stres tekanan sehingga sakit mental dibuatnya! Allah. Lalu dia diajar untuk redha, sabar, taat sedangkan tak cukup duit, ibu ayah perempuan pula yang kena tanggung bagi duit sebab suami tak cukup duit.

Isteri yang tiada pemilikan apa-apa, terkulat-kulat lihat apa orang lain ada sedangkan dia juga punya angan-angan dan impian. Nak bagi duit pada mak ayah yang membelanya dari kecil juga tak mampu. Pemilikan isteri yang membunuh emosinya! Semua harap suami sedang suami tidak pula tak mampu memberi secukupnya bahkan berkira-kira pula! Ya Allah! Ditambah suara-suara yang mengatakan isteri habiskan duit suami. Bahaya betul perkataan-perkataan jahat ini.

Sepatutnya Wanita Lebih Bahagia Selepas Kahwin
Sewajarnya selepas kahwin, lebih mudah hidupnya kerana lelaki meminangnya dengan janji untuk menjaganya, mengangkat martabatnya, melindunginya, meneruskan semangatnya untuk memperoleh cita-citanya dan perjuangannya.

Sama-sama bina cita-cita, sama-sama membangunkan antara satu sama lain, sama-sama bina keluarga, sama-sama didik anak. MashaAllah. Sekalipun suami itu sangat baik, dibelanjakan hartanya untuk keluarganya, disiapkan tempat tinggal, makan pakai, dicebok anak-anak, dimandikan anak-anak, disuap makan, dibasuh baju anak isterinya, dia juga yang memasak, belum lagi dia dapat membalas jasa isterinya bertarung nyawa ketika melahirkan zuriat-zuriat untuknya bahkan zuriat-zuriat itu pula dengan rahmat Allah akan menjadi penolongnya ke syurga .

Suami juga tak pernah sekali pun gadaikan nyawa untuk melahirkan, antara hidup dan mati(mungkin ada suami yang kerjanya berisiko tinggi, itu tidak dinafikan), suami tak pernah hilang kecantikannya akibat tidur yang tak cukup, bentuk badan yang dah tak sama, lelah yang tak habis menyusu dan fikirkan sakit anak dan pelbagai ragam anak siang malam yang tak pernah habis.

Bagaimana selepas selesai bersalin, isteri juga yang dukung anak bahkan isteri juga basuh baju anak dan suami. Ya Tuhan…

Bila isteri dah sihat sikit, berjalan bersama, isteri juga yang dukung anak… alasan anak nak pada ibunya. Ke sana ke mari isteri gendong anak, suami jalan pegang hp di tangan. Ya Allah, berat bawa perut pun tak pernah habis rasanya. Suami hanya bawa diri. Relax je suami. Sakit pinggang membawa perut mengandung pun tak pernah habis lagi!

Inilah realiti, apabila kita tidak menyediakan anak-anak lelaki kita sebagai hero dan penyelamat, sebagai pelindung dan sanggup bersusah payah bekorban untuk anak isterinya tapi kita cerita pada anak lelaki kita, lepas kahwin ada org jaga dia, lepas kahwin lebih terurus hidupnya.

Berapa ramai yang bercerita lepas kahwin, kena jaga isteri dengan sempurna, isteri ini amanah, bantu isteri, buat kerja-kerja rumah, uruskan anak, jangan harap duit isteri, usaha sungguh-sungguh, jaga mak ayahnya, jadi laki-laki bermaruah, jaga solat di masjid/ surau / tempat azan dilaungkan, jaga Al-Quran setiap hari, jaga rumah tangga dan jangan khianat. Tidak ramai bukan?

Berapa ramai ambil tahu tentang impian isteri dan sama-sama usaha mendapatkannya atau setidaknya memberikan dia jalan lebih selesa untuk kehidupan rumah tangganya?

Malangnya, lelaki diajar menjadi Raja ,dan wanita diajar bekorban tanpa jemu.
Sehingga semua pakaian suami perlu dicuci, digosok, disediakan sehingga di mana letaknya stoking pun, kalau tak jumpa,isteri juga kena marah.Lelaki diajar makanan tersedia untuk dijamah, pinggan tak perlu cuci, rumah tak payah sapu, mop lagilah tidak, cadar katil tak payah tukar, masak tak payah, semuanya kerja orang perempuan.

Akhirnya isteri tarik muka, penat letih, tiada lembut lembut, hanya jerit pekik, marah tak tentu pasal, lalu dikatakan… “Oh isteri tak macam dulu, isteri derhaka, isteri tak memahami, isteri tak layak jadi ibu.

Suami, Tolonglah Faham Penat Lelah Isteri
Takutlah pada Allah. Berlebih-lebihlah suami dalam membuat tugasan-tugasan rumah. Berilah kerehatan dan belaian kepada isteri,cpenghargaan dan kasih sayang, urutan dan sentuhan, doa dan semangat, kerja keraslah untuk isteri anak-anak, bukan banyak komplen banyak marah, banyak tegur.

Takutlah kerana para suami akan menghadap Allah. Ikhlaslah dalam setiap khidmat pada keluarga. Nescaya, isteri akan jadi ibu yang penyayang, isteri penyejuk mata, manis wajahnya dan lunak kata-katanya serta pasti dia menghormati suaminya. Anak-anak penuh kasih sayang dan ceria, tidak murung dan memberontak.

Ajarilah isteri dengan didikan agama untuk memperbaiki Al-Quran dan solatnya.

Begitulah jika agama dipelajari, difahami, diamalkan. Tidaklah kita memandai-madai menzalimi wanita.

Jadilah wanita yang bersyukur. Sayangi suamimu dan berlemah lembutlah, rendahkan suaramu dan janganlah dikeluarkan kata-kata yang tajam. Tetaplah dalam kesabaran, doa, solat dan peliharalah auratmu, labuhkan tudungmu, longgarkan pakaianmu dan pakailah baju berlengan panjang. Nikmat mana lagi yang mahu engkau dustakan wahai wanita?

Berdoalah supaya bahagia sampai syurga paling tinggi dan bertaubatlah bagi yang menyakiti tanpa sedar. Berbincang & berubahlah.

Buat para isteri, tetaplah membantu suamimu untuk apa juga urusan kerja rumah dengan ikhlas dan bersyukurlah atas pemberiannya. Jangan jadikan suamimu tempat untuk ditengking jerkah, disuruh itu ini tetapi mohonlah pertolongannya dengan kata yang lunak dan baik. Bertolak ansur lah dalam urusan-urusan rumah tangga dan maafkan kekhilafan suamimu. Bertolak ansur dan belas kasihan adalah kunci untuk tidak mencari salah pasangan. Tetapi sama-sama sepakat, sama-sama membantu segala urusan rumahtangga.